Tuesday, February 7, 2012


Ikan Haruan menjadi penawar untuk menyembuhkan luka terutama kepada mereka yang baru menjalani pembedahan dan bersalin.

Ikan air tawar jenis karnivor ini, yang merupakan spesies asli hutan hujan tropika boleh hidup dalam air payau dan biasa didapati di negara-negara rantau ini. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu bersaiz besar dinamakan ikan toman (Channa melanostoma) dan yang kecil ikan haruan (Channa striatus).

Profesor Abdul Manan Mat Jais, dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata "Ikan berkenaan adalah dalam kategori "Order of Channiformes," "Family Channidae" dan "Genus Channa" dan yang saya sedang kaji ialah Channa Striatus."
Beliau berkata terdapat 30 spesies ikan haruan di dunia dengan lapan jenis terdapat di Sarawak, dua di Sabah dan empat di Semenanjung Malaysia.

Toman, bujuk dan haruan adalah dalam satu keluarga tetapi berlainan spesies.
Prof Abdul Manan berkata keunikan haruan dewasa ialah ia menunjukkan perlakuan monogami selain mempunyai daya penguasaan wilayah yang cukup kukuh.

Ikan haruan boleh hidup dalam air yang bertakung, bergerak perlahan, cetek dan berlumpur. Bagaimanapun, kebiasaannya haruan boleh didapati di kolam, sungai, tasik, terusan pertanian, sawah dan muara sungai. Terdapat laporan menyebut pemancing pernah menangkap haruan bersaiz besar tetapi kebiasaannya berat ikan itu hanyalah sekitar satu kilogram.

No comments:

Post a Comment